Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, kayuhan sejauh 30 kilometer itu akan bermula pada pukul 6.30 pagi di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut sete­rusnya melalui beberapa laluan utama ibu negara.

“Setakat ini kami telah menerima sejumlah 1,500 pe­nyertaan. Program berkonsepkan Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan ini terbuka kepada semua peringkat umur dan tiada yuran penyertaan dikenakan.

“Kami turut mengalu-alukan anak-anak muda untuk me­nyertai program ini dalam usaha mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan warganya.

“Bagi yang berminat untuk mendaftar, mereka boleh melayari laman sesawang rasmi www.wipers.gov.my atau laman Facebook, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Razlan berkata, turut diadakan pada hari berkenaan adalah program Jom Kenduri Anak Muda Wilayah Persekutuan dan Wilayah International Motofest di Dataran DBKL.

Menurutnya, program kenduri ini akan melibatkan sebanyak 30 trak makanan (food truck) dan sebanyak 5,000 kupon percuma akan diberikan kepada pengunjung terawal.

“Pengunjung boleh bersantai dan meluangkan masa bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada hari berkenaan,” katanya.

Tambah Mohd. Razlan, seba­nyak 300 gerai pameran jualan dan perkhidmatan, selain gerai Kad Ceria Wilayah Persekutuan serta gerai ‘Job Fair’ yang menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.