Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sumbangan berkenaan layak diterima oleh guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan yang menamatkan perkhidmatannya dari tempoh 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2017.

Menurutnya, sumbangan berbentuk wang tunai itu diberikan sebagai usaha menghargai jasa serta khidmat bakti guru-guru berkenaan dalam bidang pendidikan negara.

"Ini dilakukan selepas saya mendapat maklum bahawa guru-guru yang bersara ini hanya menerima sijil dan plak sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Bagi saya itu tidak mencukupi untuk membalas jasa mereka.

“Jadi saya beri 'buah tangan' sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dan sumbangan tersebut akan diserahkan sebelum hari raya oleh wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2017 dan majlis Meraikan Persaraan Warga Pendidikan Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari.

Sementara itu Idris berkata, kerajaan negeri tidak ketinggalan dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara malah sentiasa menyokong kumpulan pendidik dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab mendidik anak bangsa.

"Justeru, kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem) dan Yayasan Melaka secara berterusan memberikan sumbangan kepada sekolah-sekolah bagi membantu guru menjayakan program kecemerlangan pendidikan pelajar,' ujarnya.

Sehubungan itu beliau berkata, warga guru perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran supaya mereka sentiasa berada di landasan betul, bersistem dan mengambil setiap tindakan secara pragmatik, optimis serta proaktif dengan berpandukan syariat Islam.

"Saya berharap guru dapat menjaga akhlak dan keperibadian kerana anda merupakan cerminan masyarakat. Agenda mendidik dan membina negara bangsa merupakan tanggungjawab penting untuk masa depan negara," tambahnya.

Pada majlis itu, empat bekas guru iaitu Othman Rejap, 71; Dr. Rosnanaini Osman, 62; Kamaruddin Abdullah, 73 dan Suboh Ma'soom, 63, dipilih sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri 2017 atas sumbangan besar mereka dalam bidang pendidikan di negeri ini. -UTUSAN ONLINE