Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pun begitu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati bahawa terdapat kekurangan sebanyak 236,000 orang pekerja teknikal ketika ini.

Malah katanya, negara juga kekurangan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menerajui ekonomi pengetahuan.

“Menurut Akademi Sains Malaysia, hanya 21 peratus dalam kalangan mereka di sekolah menengah atasan memilih untuk mempelajari subjek sains pada tahun 2014.

“Kementerian Pendidikan Tinggi turut memberi amaran tentang kekurangan graduan STEM, minat yang berkurangan dalam subjek sains dalam kalangan pelajar sekolah menengah atasan serta peningkatan jumlah pelajar yang mengambil kursus berkaitan seni di institut pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah Loreal UNESCO For Women in Science Fellowship yang turut dihadiri Pengarah Urusan Loreal Malaysia, Malek Bekdache di sini hari ini.

Pada acara itu, tiga orang saintis wanita negara menerima anugerah tersebut iaitu Dr. Ho Weang Kee dari Universiti Nottingham Malaysia (mengembangkan model jangkaan risiko kanser), Dr. Jasy Liew Suet dari Universiti Sains Malaysia (membina sistem mengesan tanda-tanda depresi) dan Dr. Teh Su Yean dari Universiti Sains Malaysia (membina model menyimpan air tanah).

Dalam pada itu, Nancy menambah, anugerah Loreal UNESCO for Women in Science itu merupakan antara inisiatif organisasi swasta dalam memupuk minat sains kepada generasi muda.

Jelasnya, anugerah ini tidak sekadar penghargaan buat golongan wanita yang memberi inspirasi, malah merupakan kunci ke arah masa depan yang lebih jauh bagi negara dan seluruh dunia. - UTUSAN ONLINE