Mengetuai senarai pertukaran itu ialah Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk A. Thaiveegan yang akan menggalas jawatan Ketua Polis Pulau Pinang.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, kekosongan jawatan Thaiveegan akan diisi oleh Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Menurutnya, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azri Ahmad pula akan menggantikan tempat Abd. Rahim di JIPS Bukit Aman manakala Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Pahang, Datuk Jamaludin Kudin akan menggantikan jawatan Azri dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Setiausaha Polis Malaysia, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf akan mengekalkan jawatan sama dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak, Datuk Gan Tian Kee akan bertukar ke JSJK Bukit Aman dengan menggalas jawatan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Jenayah Komplot) manakala Ketua JSJ Kontinjen Johor akan dilantik sebagai Ketua JPJKK Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Asmawati memaklumkan, Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman akan menggalas jawatan Ketua JSJ Kontinjen Perak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh akan ditukarkan sebagai Ketua JPJKK Kontinjen Pahang dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Selain itu, Superintenden Ibrahim Darus dari E1A1/A Cawangan Khas, Bukit Aman akan menggalas tanggungjawab sebagai Penolong Pengarah Risikan/Operasi Atipsom (STAGG) Skuad Taktikal Khas 3, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” ujarnya.

Sehubungan itu, senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai terbabit boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM - UTUSAN ONLINE