Penduduk mendakwa walaupun setiap tahun kejadian itu berlaku, namun ia tidak seteruk baru-baru ini yang berlaku dua kali dalam tempoh sebulan.

Kejadian itu didakwa berpunca daripada masalah longkang tersumbat.

Sikap segelintir warga asing yang membuang sampah termasuk sampah pukal seperti perabot dan televisyen ke dalam longkang menjadi punca utama.

Lebih memburukkan kea-daan kerja-kerja pembersihan terakhir dilakukan oleh pihak kontraktor yang dilantik adalah pada tahun 2006.

Ini menyebabkan longkang yang mempunyai kedalaman kira-kira dua meter itu gagal menampung aliran air daripada hujan lebat.

Muhammad Afwan Speri, 51, yang menetap di perumahan itu sejak 33 tahun lalu berkata, pihak berwajib perlu segera menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan menaik taraf sistem perparitan di situ.

"Penduduk di sini sudah banyak kali membuat aduan, namun umpama mencurah air ke daun keladi’, langsung tidak dipeduli.” katanya.

Muhammad Afwan berkata banjir kilat baru-baru ini telah menyebabkan dia menanggung kerugian lebih RM1,000 apabila beberapa barangan elektrik termasuk perabot rosak teruk.

Mohamed Rezan Hassan, 35, pula berkata, penduduk di sini menderita banjir kilat hampir 40 tahun.

"Ada beberapa penduduk di kawasan rendah dan belakang rumah saya mengambil keputusan untuk berpindah kerana tidak tahan untuk menghadapi banjir kilat paras pinggang setiap tahun.

"Tahun ini, sofa berat yang diletakkan di luar rumah juga hanyut ke kawasan rumah perumahan bawah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Norhayati Ahmad memaklumkan kejadian banjir di kawasan itu berkemungkinan berlaku akibat projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) yang sedang dalam pembinaan berdekatan kawasan itu.

“Kawasan projek lebuhraya itu di tanah tinggi telah menyebabkan air dari kawasan ini mengalir ke kawasan yang rendah di perumahan berkenaan ketika hujan lebat sehingga menyebabkan banjir buruk berlaku.

“Pihak kami telah mengeluarkan notis arahan henti kerja kepada pemaju dan kontraktor bagi memberhentikan segala kerja pembinaan ketika musim hujan,” katanya.