Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, pelancaran diskaun tambahan berkenaan dijadual disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di stesen KL Sentral, di sini pada 31 Mac ini.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan meringankan beban kos pengangkutan awam itu membolehkan hampir 100,000 pengguna menikmati kadar tambang yang jauh le­bih murah.

“Persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan semua pengguna Komuter KTM memperoleh kad-kad baharu yang mengandungi tambahan diskaun 20 peratus.

“Kad-kad tersebut boleh didapati sejak 23 Mac lalu di stesen KL Sentral dan Kuala Lumpur manakala pengedaran secara berperingkat-peringkat dilakukan di semua stesen di Lembah Klang sehingga ke sektor selatan di Pulau Sebang atau Tampin, Negeri Sembilan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rani berkata, pengguna hanya perlu menunjukkan MyKad dan hanya satu kad sahaja akan dikeluarkan bagi warganegara berusia antara 13 hingga 59 tahun.

“Sementara itu golongan penumpang kategori pelajar, orang kurang upaya serta warga emas kini menikmati tambang konsesi sebanyak 50 peratus,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai tata cara penggantian serta penggunaan kad-kad baharu itu boleh berbuat demikian di mana-mana stesen KTM.