Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TH Properties, Nik Badrul Hisham Nik Hassan berkata, program itu juga bertujuan memupuk hubungan lebih erat antara mereka, pemaju perumahan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami gembira kerana berpeluang untuk terlibat dalam program berkenaan kerana membolehkan kita bekerjasama dengan orang ramai dan PBT untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi menambah baik kawasan kejiranan mereka.

“Bandar Enstek dirancang rapi sebagai sebuah bandar bersepadu yang menawarkan budaya hidup baharu dengan adanya pelbagai kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat yang tinggal dan bekerja di sini. TH Properties bertekad memastikan kelestarian infrastruktur di kawasan itu bagi meningkatkan kualiti hidup penduduknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hasim Rusdi dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai, Datuk Abd. Halim Abd. Latif.

Sementara itu, Hasim pula berkata, aktiviti khidmat bantuan masyarakat itu memperkasakan penduduk Bandar Enstek untuk menambah baik persekitaran hidup mereka.

“Menerusi program gotong-royong, penduduk dapat menjalin hubungan lebih erat dan mencetus perubahan bagimmewujudkan kawasan kejiranan yang lebih sihat. Saya berbangga dengan komitmen semua pihak untuk berusaha menjadikan Bandar Enstek tempat yang menarik dan selesa untuk didiami dan bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abd. Halim berkata, beliau memuji komitmen dan usaha TH Properties menganjurkan program kemasyarakatan untuk mewujudkan persekitaran lestari bagi penduduk Bandar Enstek.

“Majlis Perbandaran Nilai bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan kami teruja dapat berganding bahu dengan TH Properties dalam usaha menambah baik infrastruktur di Bandar Enstek,” katanya. - UTUSAN ONLINE