Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, separuh daripada jumlah itu atau kira-kira 1.8 juta belum di diagnosis dan tidak pernah menjalani saringan kesihatan, lalu tidak menyedari kehadiran penyakit itu.

Melalui saringan yang tetap dan berkala, penyakit diabetes boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan optimum boleh diberikan, katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Diabetes Sedunia 2017 hari ini.

“Ini akan mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes dan membolehkan pesakit diabetes menjalani kehidupan yang normal,” katanya.

Beliau berkata peningkatan tahap kesedaran orang ramai terhadap penyakit itu, risiko penyakit dan kepentingan saringan kesihatan diharap dapat mengubah tingkah laku rakyat Malaysia dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit itu seterusnya mengurangkan risiko kematian pramatang akibat komplikasi diabetes.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kira-kira 1.78 juta penghidap diabetes di Malaysia adalah kalangan wanita.

“Kementerian Kesihatan komited dalam memberikan akses penjagaan dan pengetahuan yang cukup supaya golongan wanita mampu mengawal penyakit itu,” katanya.

Wanita mengandung, kata beliau, akan diberikan fokus yang sama dalam soal mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan sebaiknya untuk kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

“Bagi pesakit diabetes yang mahu hamil, mereka perlu menghadiri 'pre-pregnancy counselling' supaya dapat mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan,” katanya. - UTUSAN ONLINE