Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar mengenai bahaya nyamuk Aedes dan usaha memerangi wabak denggi di kawasan sekolah.

“MPSJ memilih tema melentur buluh biar dari rebungnya yang dilihat amat bersesuaian dengan objektif program untuk memperkasakan pelajar yang bukan sahaja membentuk generasi akan datang bahkan merupakan agen perubahan kepada generasi masa kini.

“Program ini adalah antara langkah proaktif untuk mengawal dan mencegah penularan wabak denggi yang bermula dari akar umbi iaitu pelajar sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan program berkenaan di Sunway Lagoon, Taman Bandar Sunway, di sini hari ini.

Program yang berkonsepkan hiburan dan pendidikan itu dilaksanakan dengan kerjasama Sunway Theme Parks, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana.

Menurut beliau, penubuhan skuad denggi di peringkat sekolah adalah lanjutan daripada program penyerahan tong kompos dan penyerahan tong pengasingan sisa makanan kantin kepada sekolah yang terlibat di dalam Program Anugerah Sejahtera MPSJ 2017.

“Saya harap usaha ini dapat menarik minat pelajar untuk menguasai pengetahuan berkaitan Aedes, denggi dan fungsi skuad cegah denggi agar matlamat dan objektif penubuhan skuad ini tercapai dengan jayanya,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 3,992 kes denggi dicatatkan di kawasan MPSJ sehingga 12 Ogos lalu berbanding 6,616 kes untuk tarikh yang sama pada 2016.

“Jumlah kematian yang dicatatkan pula adalah empat orang berbanding 10 orang pada tahun lalu. Statistik ini menunjukkan penurunan signifikan sehingga 40 peratus bagi kes denggi untuk tahun ini di kawasan MPSJ,” katanya.