Dalam kesempatan itu, Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) tidak melepaskan peluang bagi meraikan pelancong yang mengadakan lawatan di tempat-tempat menarik seperti Dataran Merdeka dengan mempersembahkan tarian singa, mengedarkan buah limau serta memberi angpau kepada orang ramai.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, ia merupakan satu peningkatan positif berbanding tahun lalu yang menyaksikan seramai 150,000 pelancong dari China menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.

Katanya, peningkatan itu didorong hasil hubungan rapat antara Malaysia-China dan usaha promosi yang agresif di rantau Asia Tenggara.

“Sejak 13 Februari lalu, jumlah pelancong dari China mencecah 250,000. Ini satu peningkatan positif kepada industri pelancongan dan anjakan positif kepada ekonomi negara.

“Dengan budaya makanan dan bahasa yang tidak jauh beza, kita tidak terkejut jika angka tersebut meningkat sehingga lebih 300,000 dalam masa dua minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir program sambutan Tahun Baharu Cina bersama MITA di Dataran Merdeka di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE