Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada vendor tempatan berunding bersama ejen pelancongan berke­naan, sekali gus membuka jaringan perniagaan lebih luas.

“Oleh itu, orang kampung dan mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) perlu ambil peluang ke­emasan tersebut untuk menjual, memasar dan memperkenalkan produk serta jenama mereka kepada ejen tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, program tahunan selama tiga hari bermula 19 Januari tahun depan itu mengetengahkan le­bih 1,000 gerai pameran pakej pelanco­ngan serta produk-produk makanan tempatan.

“Berbanding 2016, MITA Tra­vel Fair hanya menawarkan 150 gerai pameran dengan menca­tatkan jualan sebanyak RM1.6 juta. Sementara pada 2017 pula, sebanyak 650 gerai dibuka dengan jualan mencecah RM14 juta,” katanya.

Jelas beliau, program itu juga dilihat sebagai usaha mempromosikan IKS yang mengeluarkan produk tempatan sehingga dapat dikomersialkan sebagai produk global bagi menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

“Antara segmen gerai yang disediakan adalah festival makanan, pa­kej skuba, agro pelancongan, festival golf, eko-pelancongan. Untuk tahun ketiga ini, fokus kita adalah mempromosikan produk keluaran tempatan,” ujarnya.

Mengenai penglibatan kerja­sama dengan pelbagai syarikat pelancongan pula, beliau berkata, ia kini semakin rancak dilaksanakan dan MITA sentiasa bertindak bagi memastikan produk luar bandar terus dikenali.

“Antara kerjasama yang dilaksanakan adalah menarik pelancong dari China untuk datang ke Malaysia termasuk mempromosi produk luar bandar seperti durian.

“Kami juga bekerjasama dengan GrabCar dan teksi bagi menyediakan pengangkutan kepada pengunjung,” katanya.

Katanya lagi, seramai 100,000 pengunjung dijangka hadir dalam festival berkenaan dan orang ramai dialu-alukan untuk memeriahkan pelbagai aktiviti selain tawaran harga jualan barangan berpatutan.