Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Eric Choo berkata, konvoi anjuran MBWP dengan kerjasama Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) itu disertai sebanyak 60 motosikal berkuasa tinggi dan 34 kereta merentasi beberapa buah lokasi di Lembah Klang.

“Lokasi tersebut melibatkan Kampung Pandan, Shah Alam, Bandar Tun Razak, Taman Bunga Raya, Wangsa Maju dan Setiawangsa dalam tempoh masa sehari.

“Selain dapat memupuk semangat patriotik kepada belia, program ini tidak melupakan golongan miskin, anak yatim dan warga emas apabila sumbangan makanan dan keperluan harian disalurkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Tasik Sri Rampai di sini semalam.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad merasmikan program penutup Konvoi Amal dan Patriotik Malaysia yang turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Mohd. Zawawi.

Sementara itu, Abd. Halim berkata, program tersebut merupakan usaha yang baik bagi golongan belia untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

“Di samping itu mereka dapat mengenang jasa pejuang-pejuang terdahulu yang menuntut kemerdekaan demi anak bangsa. Saya berharap semangat, jiwa patriotik dan cintakan negara berterusan demi memastikan keamanan serta perpaduan berbilang kaum,” katanya.

Ahmad Fauzi pula berkata, program tersebut diharap bukan sahaja memupuk dan menjiwai semangat kemerdekaan, malah menghormati perjuangan pemimpin terdahulu menuntut kemerdekaan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka kerana bukan setakat konvoi merdeka sahaja, tetapi memberi sumbangan kepada yang memerlukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE