MEGAT MOHAMMAD AMINUDIN MEGAT ALIAS
MEGAT MOHAMMAD AMINUDIN MEGAT ALIAS

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminudin Megat Alias berkata, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang di sebuah restoran di SS3, Petaling Jaya di sini semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam melarikan seorang lelaki berusia 21 tahun itu.

“Pemeriksaan polis mendapati salah seorang suspek berumur 24 tahun turut mempunyai satu rekod kes jenayah pada tahun 2010. Kita akan mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

“Bagaimanapun, operasi memburu saki baki suspek yang dipercayai terlibat dengan kes ini kini giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

14 April lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki berusia 21 tahun telah dilarikan sekumpulan lelaki yang datang ke rumahnya dengan menaiki dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja sebelum memukul mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi.

Tiga jam selepas diculik, mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri berdekatan Sungai Way, Petaling Jaya kira-kira pukul 6 pagi dan kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,

Motif kes dipercayai berpunca daripada masalah salah faham berkaitan dengan perempuan namun ia masih dalam siasatan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang berperanan sebagai pemandu kereta Proton Waja untuk melarikan mangsa telah ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Rawang Jaya, Rawang dekat sini Ahad lalu.

Polis telah mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Petaling Jaya untuk menahan reman suspek bermula Ahad lalu dan berakhir esok. - UTUSAN ONLINE