Teks pengisytiharan kebenaran oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan tersebut dibacakan secara rasmi Timbalan Mufti, Nor Azamir Alias dalam satu majlis khas di dewan solat sebelum sembahyang Jumaat bermula.

Kira-kira 2,500 jemaah mendirikan solat Jumaat di kompleks tersebut, termasuk Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad; pengurusan kanan dan pelajar USIM serta penduduk sekitar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Almuni) USIM, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan menjadi khatib pertama menyampaikan khutbah di sini dengan tajuk ‘Peranan Komples Islam USIM dalam Pembangunan Ummah’, manakala solat Jumaat diimamkan Pengarah Pusat Islam USIM, Dr. Khairul Anuar Muhamad Al Bakri.

Kompleks Islam USIM dibina dengan kos RM20 juta melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan di atas tanah seluas 6,500 meter persegi dan mampu memuatkan sekitar 4,000 jemaah pada satu-satu masa.

Selain dewan solat utama, kompleks itu turut mengandungi dewan serbaguna, kafe, ruang niaga, bilik pengurusan jenazah, kaunter zakat dan kemudahan lain yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat. - UTUSAN ONLINE