Cabaran KL Tower International Towerthon yang memasuki tahun ke-15 penganjurannya itu mendedahkan peserta kepada cabaran fizikal dan mental bagi menawan 2,058 anak tangga pada ketinggian 288 meter dari aras laut.

Lebih 3,500 peserta mula berkumpul seawal pukul 5 pagi kelihatan bersemangat dan bersedia menyahut cabaran tersebut. Peserta dari pelbagai peringkat umur kelihatan teruja di garisan pelepasan di kawasan tempat letak kenderaan terbuka Menara KL.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata, acara berprestij tersebut mewujudkan kelompok pengikut yang bukan sahaja terdiri dari pelari tempatan malah atlet antarabangsa.

“Acara bertaraf antarabangsa ini terus menerima penyertaan menggalakkan terutama daripada peserta luar negara antaranya daripada Kenya, Filipina, Australia, Perancis, Jerman, Indonesia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

“Selain dari menyambut ulang tahun Menara KL yang ke-20, keistimewaan penganjuran pada kali ini ialah dengan menyumbang sebahagian daripada yuran pendaftaran peserta kepada Yayasan Sejahtera Malaysia untuk tujuan amal,” katanya ketika berucap dalam acara penutup dan penyampaian hadiah.

Larian sejauh 800 meter perlu diharungi terlebih dahulu sebelum peserta mula memijak anak tangga pertama, menyaksikan aneka ragam dan aksi unik peserta yang lebih kepada bersantai bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.

Tidak kurang hebatnya juga persaingan kebanyakan pelari antarabangsa dan sebahagian peserta tempatan yang memecut awal bagi mengejar rekod masa terbaik peribadi serta merebut hadiah lumayan yang ditawarkan.

Pelari daripada Kenya, Mburu John Muiruri dan Susan Jamutai Kosgei masing-masing mengungguli kategori terbuka lelaki dan wanita yang membawa pulang habuan wang tunai RM3,000, piala pusingan, sijil, pingat dan keahlian selama sebulan di gimnasium Celebrity Fitness.

Sementara itu, Anas Rosli dan bekas jaguh jalan kaki negara, Yuan Yu Fang muncul sebagai peserta lelaki dan wanita tempatan terbaik dengan masing-masing mencatatkan masa 14 minit 53.71 saat; dan 16 minit 57.40 saat yang turut membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sebutir syiling emas.