Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerjasama kementeriannya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu bertujuan menyemarakkan konsep muafakat dalam komuniti.

Menurutnya, para sukarelawan yang terdiri daripada orang kurang upaya, kanak-kanak dan warga emas termasuk pelajar institusi pengajian tinggi serta rakan jalanan daripada komuniti gelandangan itu sekali gus dapat meningkatkan peranan setiap individu masyarakat terbabit.

“Penglibatan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kenchara dan Pertiwi Soup Kitchen amat bermakna kerana inisiatif mereka menyantuni warga kota terutama gelandangan telah sekian lama dilakukan.

“Pemerkasaan penglibatan anggota masyarakat dalam program santai dan beriadah secara sihat dapat membentuk sahsiah selain lebih berdaya saing ke arah kebaikan bersama,” katanya kepada pemberita sejurus pelepasan peserta VOICE di sini. - UTUSAN ONLINE