Bertemakan ‘Pandu untuk Pemuliharaan’, MHH2017 ini akan menjejak beberapa tempat menarik di negeri Perak serta memberi peluang kepada wakil media mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti berkaitan hasil tempatan, khusus dari negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Khairul Kamarudin berkata, penganjuran itu merupakan siri ketujuh bakal menerokai keindahan negeri berkenaan.

“MHH2017 ini merupakan satu wadah penting untuk kami menzahirkan rasa terima kasih kepada semua agensi-agensi media tempatan yang telah memberi sokongan yang berterusan serta memberi liputan yang luas kepada kami.

“Dalam masa sama, kami juga berhasrat untuk mempromosikan hasil tempatan bagi meningkatkan status ekonomi pengusaha dan secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan dan penciptaan nilai industri kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Program itu dijangka akan berlepas dari Cawangan Bank Islam di Sungai Buloh dan akan berakhir di sebuah hotel terkemuka di Ipoh, Perak. - UTUSAN ONLINE