Dalam operasi itu, seramai 16 wanita warga Vietnam, Thailand danIndonesia berusia antara 20 dan 31 tahun ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran sebagai pelayan seks di sebuah spa.

Operasi yang bermula dari pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 3.30 pagi itu disertai oleh 254 anggota dari pelbagai agensi antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan (DBKL), Azman Mahmood berkata, serbuan dijalankan di lima lokasi membabitkan sebuah spa, hotel dan kelab malam di Cheras serta dua buah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

“Kita mendapati kebanyakan premis ini beroperasi tanpa lesen dan pihak berkuasa telah mengambil tindakan serta-merta terhadap kesemua premis mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya selepas operasi di sini hari ini.

Menurut Azman, serbuan pertama dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan kerana tidak mempamerkan lesen dan Seksyen 30(1)b Akta Syarikat 2016 kerana tidak mempamerkan papan tanda.

Ujarnya, serbuan kedua dibuat di sebuah hotel di Jalan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan didapati pemilik melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(3) Akta Hotel 2003 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Hotel tersebut menawarkan bilik pada harga murah. Semasa pemeriksaan, kita dapati hanya warga asing yang menginap di situ.

“Anggota kami terpaksa mengejutkan mereka supaya keluar dari hotel bagi proses sitaan dan penutupan premis berkenaan,” katanya.

Azman berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah hotel di Cheras dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016 kerana tidak mempamerkan nama pendaftar dan nombor pendaftaran premis.

Katanya, serbuan keempat dilakukan di sebuah spa yang beroperasi lebih masa dengan menyita peralatan perniagaan manakala pekerja wanita warga asing yang ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dibawa ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Notis penguatkuasaan serta merta di bawah Seksyen 76 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan pecah sekatan dalaman, akta sama terhadap premis berkenaan,” katanya.

Tambah Azman, serbuan terakhir di sebuah kelab malam di Cheras melibatkan kesalahan di bawah Kaedah 27 Kaedah-kaedah Hiburan kerana beroperasi lebih masa dengan tindakan sita peralatan dan minuman keras dilakukan oleh pihak kastam. - UTUSAN ONLINE