Penganjuran kali keempat selama tiga hari bermula Jumaat lalu itu diterajui Kelab Motosikal Daerah Seremban (SDMC) merupakan antara agenda utama dalam kalendar Festival Negeri Sembilan turut disokong Lembaga Pelancongan negeri.

Penasihat SDMC, Mazlan Othman berkata, objektif penganjurannya adalah menaikkan nama Port Dickson selaku destinasi pelancongan menarik selain suasana pantai bersih dan kehidupan masyarakatnya yang peramah dan mesra pelawat luar.

Katanya, keunikan membawa komuniti pencinta sukan permotoran berkampung bersama selama tiga hari itu beri peluang kepada peminat serta pengikut saling berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.

“Kehadiran kelab-kelab motosikal daripada luar antaranya daripada Singapura, Thailand dan Brunei sedikit sebanyak mengukuhkan tali persahabatan yang terjalan dalam kalangan penunggang sama ada ‘otai’ mahupun baru berjinak-jinak.

“Berkonsepkan santai dan terbuka kepada semua jenis motosikal baik dari sisi tinggi mahupun kapcai telah berjaya mendekatkan kelompok pencinta sukan permotoran ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penganjurannya dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bertempat di perkarangan Mayang Sari Resort di sini selaku penaja lokasi dan berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Menurut Mazlan, selain mendedahkan pencapaian kelab-kelab motosikal tempatan yang turut dipamerkan aktiviti sukan bina badan turut berlangsung bagi mempromosi gaya hidup sihat.

“Lebih 100 gerai-gerai jualan dan pameran pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi termasuk aksesori motosikal, pakaian, makanan dan barangan turut berlangsung selain aktiviti sukan santai serta cabutan bertuah,” katanya.