Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persatuan Karyawan Malaysia itu berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.

Sejak pukul 8 pagi hari Sabtu , suasana semakin gamat apabila kira-kira 300 orang berkumpul menyertai acara senaman zumba yang ditarikan mengikut muzik rancak.

Tidak ketinggalan, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan isteri cukup ‘sporting’ menyertai senaman tersebut bersama orang ramai.

Lebih menarik, program turut diserikan dengan perlumbaan Malaysian Supermotor Championship anjuran Asia Supersports Group yang menggegarkan taman tasik tersebut.

Selain perlumbaan, pengunjung turut mengambil bahagian pelbagai aktiviti seperti zumba, kaunter pelbagai agensi kerajaan dan swasta, aktiviti mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah dan persembahan kemuncak konsert artis pada sebelah malam.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari pertama yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Dalam sidang akhbar, Tengku Adnan turut mengumumkan KL Xtravaganza akan diperluaskan ke seluruh kawasan parlimen setiap bulan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

“Ini merupakan program kedua KL Xtravaganza di Bandar Tun Razak selepas pelancaran pertama di Parlimen Setiawangsa bulan lepas. Kita akan bawa semua agensi kerajaan supaya orang ramai dapat berurusan dengan agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan sebagainya.

“Program turut memberi ruang kepada warga kota berhibur dan beriadah bersama keluarga sambil menyaksikan persembahan nyanyian serta terlibat dengan peluang perniagaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE