Pengerusi Alumni Program Khas Haji Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata jemaah kali ini akan dihantar lebih awal melalui penerbangan kedua (KT2) pada bulan Julai berbanding tahun-tahun sebelumnya pada KT13 atau KT14.

“Tahun ini kita beri surat tawaran awal, jadi kita dapat menghantar jemaah lebih awal dan saya juga telah bermesyuarat dengan pihak Tabung Haji mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa majlis penyerahan surat tawaran haji itu di Perdana Putra, di sini hari ini.

Jailani sebelum ini memaklumkan kuota menunaikan haji di bawah program itu pada tahun ini ditambah 100 orang lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 1,200 orang berbanding tahun 2017.

Menurutnya selain imam, bilal dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan tok batin, program kali kelapan itu turut diperluaskan kepada badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Guru Besar, pesara kerajaan dan jabatan agama Islam negeri.

Jailani yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, program bermula pada 2011 itu telah menghantar seramai 5,711 jemaah haji. - BERNAMA