Acara bermula pada hari ini dan berakhir esok itu memberi peluang kepada peminat-peminat jam tangan G-Shock pelbagai model yang dikeluarkan sejak 1983 hinggalah terkini.

Terdapat pelbagai model bermula daripada kategori ‘vintage’ hinggalah keluaran seperti cenderamata khas selebriti, filem-filem antarabangsa serta adiwira seperti Ultraman dan Ironman.

Justeru, tidak hairanlah jam tangan tersebut menjadi kegilaan para belia sehingga ada di antara pengunjung sanggup datang dari jauh untuk mencari kepuasan dalam melihat pameran G-Shock yang dilabel sebagai ‘rare’.

Seorang peminat jam tangan G-Shock, Jefri Nursidin, 26, sanggup datang dari Terengganu untuk melihat keunikan jam tangan itu yang dipamerkan di sana.

JEFRI NURSIDIN
JEFRI NURSIDIN

Jefri memberitahu, dia kini mempunyai 30 koleksi pelbagai model jam tangan tersebut dan sanggup berhabis duit untuk membeli sekali gus antara lima hingga enam utas.

“Saya datang bersama rakan sejak semalam lagi untuk melihat koleksi ‘rare’ jam tangan G-Shock.

“Menarik perhatian sebab ada jam tangan model Murakami, selalu lihat dekat internet, tetapi kali ini dapat tengok depan mata rasa betul-betul puas hati.

“Meminati jenama jam tangan itu sejak tahun 2010 lagi dan saya membelinya secara dalam talian (online) untuk mendapatkan model-model yang tidak terdapat di Malaysia.” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Begitu juga dengan Azman Idris, 40, yang meminati jam tangan G-Shock sejak di bangku sekolah rendah lagi.

AMAN IDRIS
AMAN IDRIS

Malah beliau memberitahu, sering dipandang pelik oleh rakan-rakan sekelasnya dahulu kerana memakai jam dekat tangan kanan.

“Memang tak boleh digambarkan rasa minat terhadap jam tangan G-Shock sebab dia ada keunikan tersendiri selain tahan lasak serta ringan.

“Antara koleksi yang pernah saya miliki dahulu adalah jenis DW8800 yang ada bank data untuk simpan nombor telefon,” katanya. - UTUSAN ONLINE