Pelajarnya pengsan, pening kepala, loya dan muntah-muntah akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang jaraknya hanya kira-kira 500 meter dari kedua-dua sekolah itu.

Suasana di situ tidak ubah seperti berlakunya kemalangan melibatkan bas sekolah di hadapan kedua-dua sekolah itu yang terletak bersebelahan.

Ini kerana boleh dilihat khemah-khemah selain kanvas di­bentang dengan petugas peru­batan dan pihak bomba merawat pelajar selain ambulans berulang-alik ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Itu apa yang penulis saksikan pada tanggal 7 Mac 2019 iaitu hari pertama berlakunya pencemaran toksik. Sebenarnya bukan sahaja pelajar menjadi mang­sa tetapi orang awam turut mengalami simptom-simptom sama malah ada yang pengsan di rumah, rebah di pasar raya dan tempat-tempat awam termasuk pekerja-pekerja terba­ring di Pelabuhan Johor.

Gambar-gambar ini menjadi tular dalam media sosial yang meningkatkan lagi situasi cemas.

Selama dua minggu pihak me­dia membuat liputan bencana toksik itu, banyak cerita yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku. Melaluinya boleh dilihat sisi kemanusiaan yang jelas dan pada masa sama, terdapat pihak-pihak mengambil kesempatan atas apa yang berlaku.

Penulis bukan pakar untuk menyatakan aspek-aspek teknikal berkaitan pencemaran toksik itu tetapi lebih berminat memberitahu beberapa cerita menarik sepanjang liputan bencana toksik itu. Ramai tidak sedar bahawa lebih 1,000 petugas berkhidmat sepanjang 14 hari itu datang dari seluruh negara.

Mereka terdiri daripada agensi serta jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah Petronas turut berkongsi kepakaran mereka dalam menguruskan mangsa-mangsa pencemaran toksik. Mereka berkhidmat siang malam. Simpati dengan petugas yang bertungkus-lumus dan nasib pesakit toksik yang dirawat di pusat-pusat rawatan, banyak pihak menghulurkan sumbangan terutama makanan sehingga berlaku pembaziran.

NGO seperti Pertubuhan Ihsan Johor pula mengedarkan 8,940 penutup muka secara per­cuma selain menu­buhkan Ta­bung Misi Pertubuhan Ihsan Jo­hor Kemanusiaan Pasir Gudang­ 2019 yang kini berjumlah RM26,775.

Menurut beberapa petugas perubatan, mereka yang mendapat rawatan bukan semua disebabkan pencemaran toksik tetapi simptom strok haba ke­rana ketika itu difahamkan suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius. Ini sebenarnya bukan kemalangan industri tetapi kecuaian manusia dan faktor semasa.

Telatah lucu pelajar juga boleh dilihat apabila ada antara mereka yang seakan-akan 'berlakon' ketika pasukan ke­selamatan merawat mereka. Namun sikap profesional petugas memastikan semuanya lancar dan selamat harus dipuji.

Insiden seorang ibu tidak dibenarkan mendapat rawatan hanya kerana tidak membawa MyKid dan pengamal media 'dihalau' juga menjadi sasaran kritikan warganet. Dalam hal ini, alasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang 'menghalau' media kera­na satu program diadakan di tempat media biasa berkumpul adalah tidak tepat sebenarnya.