Jalan alternatif itu, yang pelannya telah sedia ada di dalam rancangan pembangunan kawasan berkenaan sejak belasan tahun lalu, apabila siap dibina, pastinya akan meredakan ketegangan antara penduduk di Taman Sri Keramat Tengah.

Ketika ini, penduduk Taman Sri Keramat Tengah terbahagi kepada dua kumpulan - yang menyokong dan yang membantah penutupan sambungan haram itu sehingga timbul tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Kumpulan yang menyokong penutupan jalan sambungan itu bagaimanapun bersedia bertolak ansur dengan membenarkan jalan sambungan itu dibuka sehingga jalan alternatif disiapkan.

Bagaimanapun, timbul pula masalah lain kerana pada ketika ini, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tanggungjawab mereka membina jalan alternatif itu.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang sepatutnya membina sebahagian lagi jalan itu dikatakan tidak akan membina bahagian mereka kerana ketiadaan peruntukan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan pembinaan itu mendapati DBKL sedang rancak menjalankan tugas mereka dan jalan berkenaan dijangka siap lebih cepat daripada yang dijadualkan pada Ogos nanti.

Jalan alternatif itu nanti akan menghubungkan Jalan 6/27A, Wangsa Maju di Kuala Lumpur dengan AU3 di persimpangan Jalan 3/56 dan Jalan 1/56, Hulu Klang, Selangor.

MPAJ sepatutnya membina sebatang jalan yang menyambungkan Jalan AU5 dengan yang sedang dibina oleh DBKL itu, bermula dari sebidang tanah yang kini menempatkan sebuah kedai kereta terpakai.

Jika jalan berkenaan siap, maka penduduk di kedua-dua kawasan itu tidak perlu lagi menggunakan jalan yang jauh untuk menjalankan urusan masing-masing termasuk menghantar anak ke sekolah atau ke pejabat.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Jalan AU4/1, Hasbullah Mat berkata, jika mereka boleh bersabar selama 14 tahun untuk sambungan haram itu ditutup, maka tiada masalah untuk mereka menanti beberapa ketika lagi sehingga jalan alternatif dibina.

"Apa yang penting ialah isu ini benar-benar selesai dan semua orang berpuas hati," katanya ketika dihubungi di sini.

Hasbullah berkata, jika MPAJ tidak membina bahagiannya, beliau berpendapat isu pertelagahan antara penduduk akan berterusan.

Tegasnya, alasan ketiadaan wang untuk membina jalan alternatif itu tidak dapat diterima kerana ia telah berada dalam pelan pembangunan sejak 14 tahun lalu.

"Mereka kenalah cari dana," ujarnya lagi.

Dua penduduk yang membantah penutupan sambungan haram itu turut mendesak agar MPAJ segera membina jalan baru berkenaan.

Ibrahim Moidu, 48, berkata, beliau telah berniaga di taman itu selama 20 tahun dan penutupan sambungan berkenaan akan membuatkan perniagaannya terjejas.

"Kami memang tidak boleh berbuat apa-apa jika pihak berkuasa membuat keputusan untuk menutup sambungan itu. Takkan kita nak lawan pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, saya rayu MPAJ bina jalan alternatif itu... jika tidak banyak perniagaan di sini akan terjejas dan penduduk akan terus tidak berpuas hati kerana terpaksa memandu jauh yang melibatkan kos dan banyak masa terbuang," kata peniaga kedai makan itu.

Seorang penduduk, Abu Hassan Atan, 48, pula berharap penutupan sambungan haram itu dibuat hanya kepada kenderaan berat.

"Saya harap dipasang palang supaya kenderaan berat tidak boleh melalui Jalan 4/1 ini.

"Penduduk di sini boleh dikatakan saban hari berurusan di sebelah Wangsa Maju dan begitu juga sebaliknya.

"Di sebelah sini kami ke Wangsa Maju untuk ke tempat kerja atau membeli barangan dapur di beberapa pasar raya di Seksyen 6 manakala penduduk Wangsa Maju pula ke mari untuk menghantar anak yang bersekolah di sini," katanya.

Beliau bersetuju jika sambungan berkenaan ditutup tetapi MPAJ perlu menunaikan tanggungjawabnya membina jalan alternatif itu.