Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Samsudin Noor berkata, kilang berkenaan adalah perintis bagi pengeluaran produk perte­ngahan sekali gus merancakkan lagi industri kenaf dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Setakat ini, kita dalam proses melengkapkan mesin dan sekiranya tiada aral melintang, kilang terbabit dijangka beroperasi sepenuhnya Januari tahun depan.

“Kilang ini akan menjadi lonjakan baharu dalam urusan pembangunan industri kenaf selaras dengan sasaran bagi menjadikan kenaf sebagai industri komersial melalui pengeluaran produk bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Dewan Teater, Ibu Pejabat LKTN di sini hari ini.

Seramai 341 kakitangan LKTN yang diketuai oleh Samsudin telah melafazkan ikrar yang disaksikan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Rostam Abu Hassan.

Dalam pada itu, Samsudin berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya meluaskan kawasan tanaman kenaf sebanyak 2,200 hektar sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 2,000 hektar.

“Kita akan mengekalkan momentum berkenaan untuk tahun ini dan kita turut menyeru mana-mana industri untuk berkecimpung dalam industri kenaf kerana kita memerlukan pihak industri yang betul-betul komited untuk melonjakkan hasil kenaf,” katanya.

Tambah beliau, jualan kenaf untuk tahun lalu juga mencatatkan peningkatan sehingga hampir RM2 juta berbanding RM1.2 juta pada 2016.

“Untuk tahun ini, kita mensasarkan jualan kenaf ini terus meningkat sehingga RM3 juta,” katanya.