Siapa sangka nikmat kedamaian di kampung seolah-olah dirobek sang petualang yang hanya memikirkan kantung keuntungan tanpa ada sekelumit rasa simpati terhadap penduduk kampung tersebut.  

Tinjauan Utusan Online hari ini bukan hanya mendapati jalan tidak berturap sepanjang lebih 500 meter,  bahkan pembinaan kilang itu langsung tidak memacakkan sebarang pemakluman mengenai jangka masa projek dan maklumat penting lain.  

Justeru,  timbul tanda tanya bagaimana Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ),  Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan lain boleh meluluskan pembinaan kilang yang jelas mengabaikan prosedur operasi standard itu?  

Derita yang dialami bapa kepada lima anak, 
Mohamad Khan Bayi Khan, 49, bagaikan tiada siapa yang peduli walaupun pelbagai usaha dan aduan sudah disuarakan.  

Bahkan,  nasib pekerja swasta itu dilambung seperti bola apabila setiap jabatan seolah-olah bermain tarik tali dan enggan membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu sejak setahun lalu.  

"Sebenarnya,  saya sudah bertekak dengan MPKJ tentang hal ini,  sebab projek kilang ini langsung tidak pacak apa-apa notis bahkan kilang itu juga sepatutnya letak penutup atau penghadang supaya debu dan habuk tidak berterbangan ke rumah kami.  

"Hidup saya sudah lama terseksa, anak-anak tidak boleh bermain di luar rumah,  tingkap pun saya tidak boleh buka dan jemur kain pun tidak boleh sebab debu akan melekat nanti.  

"Saya sampai terfikir hendak pindah atau jual rumah ini walaupun ini merupakan tanah pusaka nenek moyang saya sejak 60 tahun lalu. Apabila saya bising,  macam tiada tindakan dan pihak pemaju kata kawasan tanah tidak bertar itu sudah menjadi milik mereka,  walaupun begitu,  mereka perlu bertanggungjawab sebab sudah hancurkan jalan yang dilalui oleh penduduk kampung di sini, " katanya di sini hari ini.  

Sementara itu, Utusan Online berjaya menghubungi Ketua Kampung tersebut namun enggan memberikan kerjasama serta-merta.  

"Nanti saya maklumkan kemudian, bagi saya masa dahulu.  Apa kata,  tuan buat tinjauan dahulu..

"Utusan lagi hebat dalam urusan seperti ini,  cedok mana-mana.., " ujarnya. -UTUSAN ONLINE