Datuk Lau Lee .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, keprihatinan terhadap kebersihan amat penting kerana pembangunan negara akan terbantut jika masih terdapat penularan penyakit berjangkit akibat kegagalan menjaga kebersihan.

Beliau berkata, sebagai contoh sikap acuh tidak acuh memungkinkan peningkatan habitat nyamuk aedes sekali gus memberi impak serius kepada kesihatan rakyat.

“Pelbagai kempen kesedaran kesihatan dilakukan oleh agensi terlibat, tetapi sikap segelintir penduduk suka membuat kotor dan mengabaikan keceriaan masih berleluasa.

“Justeru, penduduk di bandar ini wajar mempunyai kesedaran tinggi tanpa perlu dipaksa membersihkan kawasan masing-masing bagi membendung penularan wabak penyakit tertentu,” katanya selepas melancarkan Program Tiada Aedes Tiada Denggi anjuran Alam Flora Sdn. Bhd., di sini baru-baru ini.

Menurut Lee, program itu me­numpukan kawasan yang dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Daerah Jerantut sebagai lokasi ‘titik panas’ pembiakan nyamuk aedes.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sungai Jan, Lee Yoke berkata, mereka terpanggil melaksanakan program ini menerusi bantuan logistik Alam Flora untuk memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti bandar ini yang bimbang dengan senario peningkatan kes denggi sejak akhir-akhir ini.

“Kita bersepakat dengan agensi berkenaan serta bersama penduduk bandar ini bergotong-royong membersihkan kawasan sebagai usaha pencegahan wabak denggi yang boleh membawa maut selain dikhuatiri merebak ke kawasan lain,” ujarnya.