Miskiah Satar, 45, memberitahu, selepas kehilangan suaminya, Hamidi Mohd. Nor, 50, tahun lalu, dia menanggung kehidupan keluarganya menggunakan wang bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suaminya sebanyak RM1,000 sebulan.

Katanya, wang yang diterima itu digunakan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, termasuk anak sulungnya yang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur.

“Wang Perkeso itu juga digunakan untuk membeli barangan keperluan harian kerana sejak berkahwin pada 1996, saya hanya menguruskan rumah tangga.

“Syukurlah masyarakat setempat khususnya jiran-jiran di sini amat menyokong kami sekeluarga dan banyak membantu dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nusa Damai, di sini semalam.

Pada 10 Oktober lalu, mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan menuju ke Plentong untuk menikmati makan malam sebelum terlibat dalam kemalangan.

Dalam kemalangan tersebut, Miskiah mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala anak keduanya, Mohd. Hafiz, 17, patah kaki dan anak keempatnya, Nurhaziqah, 12, patah tangan.

Dua lagi anaknya iaitu Mohd. Nur Hakim, 16, dan Muhammad Nur Haikal, 9, serta seorang anak saudara mereka cedera ringan manakala anak sulungnya tiada di tempat kejadian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad berkata, pihaknya akan membantu Miskiah untuk mengikuti beberapa kursus kemahiran bagi mencari pendapatan tambahan.

“Kita akan lihat kemahiran yang bersesuaian dengannya sa­ma ada menjahit, memasak atau membuat kuih,” katanya ketika melawat keluarga itu untuk me­nyampaikan sumbangan.