Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, hasil tindakan yang diambil pihaknya berjaya membuat beberapa tangkapan terhadap cubaan membawa kereta curi ke negara jiran baru-baru ini.

“Sebenarnya kejayaan ini hasil tindakan anggota kita yang agak agresif dengan membuat operasi lebih komited dan fokus.

“Saya sudah mengarahkan agar anggota kita supaya lebih berjaga-jaga dan agresif secara keseluruhan untuk memantau keadaan di perbatasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perbarisan Penutup Modul Orientasi Pertahanan Negara Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Siri 4/2017 di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Briged Ke-3, Brigedier Jeneral Muhammad Bustaman Mat Zin, Pengarah Intan negeri, Dr. Jasmine Edmund Andrew dan Pengarah Kementerian Pertahanan negeri, Norisal Saili. - UTUSAN ONLINE