Pakar Sakit Puan, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. K. Mohanraj berkata, peningkatan itu boleh dilihat dengan jelas apabila 13 tahun lalu hanya 10 orang yang menghadiri kelas ibu hamil, namun jumlah tersebut bertambah kepada 20 orang tujuh tahun lalu dan kini meningkat mencecah 40 orang bagi setiap kelas.

“Apa yang membanggkan inisiatif untuk menghadiri kelas ibu hamil ini bukan sahaja datang daripada ibu tersebut, malah suami mereka begitu teruja dengan membantu mencari para penganjur yang mengadakan kelas seumpama itu.

“Menerusi kelas ini, antara topik yang kita tekankan maklumat asas penjagaan ibu dan janin semasa mengandung, makanan seimbang, teknik penyusuan yang betul dan penjagaan bayi baru lahir,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas memberi ceramah pada Kelas Ibu Hamil anjuran hospital berke­naan, semalam.

Beliau yang juga pakar kesuburan turut kagum apabila para peserta tidak segan silu untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan, bukan sahaja dalam kalangan ibu, malah suami mereka yang jelas menunjukkan kesedaran tinggi dan mengharapkan maklumat terkini dari­pada doktor-doktor pakar yang mengendalikan kelas tersebut.

Semalam seramai 30 orang yang terdiri daripada pasangan suami isteri menyertai kelas tersebut yang diadakan secara percuma oleh Hospital Pakar KPJ Johor.

Mohanraj berkata, peserta turut didedahkan dengan gejala-gejala yang perlu diambil perhatian dan jenis-jenis proses kelahiran bagi menambah penge­tahuan dan kemahiran pasangan yang akan menerima ahli baharu dalam keluarga mereka.

Menurutnya, penerangan dan demontrasi yang ditunjukkan diharap menjadikan pasa­ngan itu lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.