Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, Kota Bharu menunjukkan peningkatan kes tertinggi iaitu 264 kes berbanding sembilan daerah lain dengan jumlah keseluruhan dilaporkan sebanyak 339 kes berbanding hanya 75 kes bagi tempoh sama tahun lalu. 

"Daerah lain yang turut menunjukkan peningkatan ialah Tumpat dengan 127 kes diikut Bachok (40 kes); Tanah Merah (28 kes); dan Pasir Mas (25 kes).

"Dalam pada itu, hanya Pasir Puteh tidak mengalami perubahan di mana kekal dengan jumlah sama iaitu 18 kes. Dalam tempoh ini pada tahun lalu tiada kematian dicatatkan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Operasi Pemeriksaan Tempat Pembiakan Aedes  dan Penguatkuasaan Besar-Besaran di Wakaf Mek Zainab,  di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Dr. Zaini berkata, pihaknya sedang giat mengadakan aktiviti pendidikan dan pemeriksaan bagi memberi kesedaran kepada bahayanya wabak penyakit Aedes kepada masyarakat. 

"Sehingga kini, kita telah melaksanakan pemeriksaan pembiakan Aedes ke atas 67,149 premis di seluruh negeri ini, di mana sebanyak 465 kompoun telah dikeluarkan dibawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957.

"Kita harap masyarakat juga turut sama memainkan peranan dan kerjasama  dengan sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan melakukan aktiviti cari dan musnah di sekitar rumah supaya tidak berlaku pembiakan Aedes, " ujarnya.- UTUSAN ONLINE