Berkat kesungguhan berniaga kecil-kecilan, Wan Nor Azlina Wan Azmi, 32, kini memiliki sebuah kilang kecil menghasilkan keropok mini dengan jenama Kak Long di Kampung Lot 23 Cherang Ruku, di sini.

Wan Nor Azlina memberi­tahu, usaha awal memproses keropok dilakukan di dapur rumah tanpa menggunakan sebarang mesin dan cukup sekadar memenuhi permintaan pasaran sekitar Kuala Besut dan Se­merak.

Setelah perniagaannya ber­kem­bang, dia membuat keputusan membuka kilang kecil selain mengambil penduduk kampung sebagai pekerja.

“Saya hanya menggunakan modal sendiri tanpa membuat sebarang pinjaman sehingga mampu membina sebuah kilang kecil yang memberi peluang kepada penduduk setempat be­kerja secara sambilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain popular di seluruh negara, Keropok Kak Long juga berjaya menembusi negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Menurut Wan Nor Azlina, kejayaan diperolehnya hari ini banyak dibantu pihak Kawasan Pembangunan Pertanian (IADA) Kemasin-Semerak yang sentiasa bersedia memberi bimbingan.

Katanya, IADA Kemasin-Semerak menyediakan latihan dan kursus khas selain menyumbangkan sebuah peti sejuk beku yang boleh membantu menyimpan bahan-bahan mentah bagi membuat keropok.

Menurutnya, setakat ini seramai 25 pengedar keropok kering Kak Long terdapat di seluruh negara dan permintaan yang tinggi ialah di Terengganu, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Langkawi.

“Dengan tenaga kerja yang ada, saya mampu menghasilkan 1,000 batang keropok lekor yang kemudiannya akan dipotong nipis, dijemur dan dibungkus. Ia diproses dalam kuantiti yang banyak setelah mendapat tempahan.

“Proses membentuk batang keropok dan merebus mengambil masa selama satu jam manakala kerja memotong dan menjemur hingga kering mengambil masa satu hari,” katanya.

Kata Wan Nor Azlina, setakat ini kebanyakan kerja-kerja menghasilkan keropok di kilangnya masih dibuat secara tradisional tanpa bantuan mesin yang canggih.

“Produk Keropok Kak Long sekarang dihasilkan menggunakan tangan.

“Kualiti dan mutu keropok adalah perkara utama yang diberi perhatian iaitu memastikan kandungan ikan yang mencukupi,” katanya.