Pegawai Daerah Kerian, Datuk Hamzah Hussin berkata, cadang­an itu dikemukakan pihaknya setelah melihat projek perintis penternakan ikan ketutu yang dilaksanakan di Kampung Nibong Hangus di sini menunjukkan potensi besar untuk dikomersilkan pada skala lebih besar.

Kata beliau, daerah tersebut juga mempunyai kelebihan kerana mempunyai sungai yang strategik selain merupakan habitat asal ikan terbabit.

“Berdasarkan tinjauan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat di Kampung Nibong Hangus ini, saya lihat potensi ikan ketutu atau lebih dikenali ikan ubi ini amat luas kerana harga pasarannya yang tinggi mencecah RM100 sekilogram selain permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

“Begitu juga kesesuaian Sungai Kurau di sini untuk menjadi habitat ikan tersebut turut me­nguatkan keyakinan perlaksa­naan projek akuakultur ini pada skala besar.

“Dengan terlaksananya projek ini nanti, saya yakin ia mampu meningkatkan sumber pendapat­an nelayan di sini serta ekonomi negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat projek penternakan ikan tersebut di Kampung Nibong Hangus di sini hari ini.

Hamzah berkata, sebagai lang­kah awal, pihaknya akan berbincang dengan agensi terlibat termasuk Jabatan Perikanan bagi mendapatkan maklum balas dan laporan teknikal berkenaan ke­sesuaian perlaksanaan projek tersebut dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pada masa yang sama pihaknya juga akan mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan tersebut dalam usaha untuk mendapatkan ka­edah penternakan ikan ketutu yang lebih teratur dan berdaya saing.

“Berdasarkan tinjauan di Kampung Nibong Hangus, saya dapat melihat sendiri kesungguhan dan komitmen beberapa pengusaha sangkar ikan ketutu dalam menternak ikan itu.

“Meskipun pada ketika ini jumlah sangkar ikan yang diwujudkan tidak banyak, saya difahamkan pengusaha mampu memperoleh keuntungan lebih RM1,000 bagi setiap sangkar,” katanya.

Sementara itu, Sham berkata, selain projek berkenaan, pihak­nya turut berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat meluluskan permohonan nelayan darat Kampung Nibong Hangus bagi mendapatkan jeti pendaratan ikan yang telah dibuat sejak sekian lama.