Pengarah Unit Penyelarasan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Nor Hisham Mohd. Nor berkata, pihak kerajaan sekali-kali tidak meminggirkan golongan bekas tentera tidak berpencen kerana terdapat dana khusus yang diperuntukkan kerajaan untuk mereka.

“Bantuan yang disalurkan melalui Kementerian Kewangan itu bertujuan membantu ahli merancang aktiviti yang boleh membawa pulangan dalam bentuk pendapatan dan seterusnya membaiki taraf hidup mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas merasmikan majlis pelancaran Direktori World Islamic Bazaar di sini hari ini.

Dalam majlis itu juga, beliau menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PTTB dengan Dataran Kemuning Official Event.

Sementara itu, Pengerusi PTTB, Ahmadin Mohd. Yusof berkata, seperti mana bantuan dihulurkan kepada peneroka-peneroka Felda, kerajaan juga perlu memberi bantuan kepada bekas tentera tidak berpencen supaya pengorbanan mereka untuk negara selama ini tidak sia-sia.

“Walaupun kerajaan dilihat banyak membantu bekas tentera tidak berpencen, ada segelintir daripada mereka masih hidup di bawah taraf kemiskinan kerana kurang mendapat maklumat dan berlakunya kerenah birokrasi,” katanya.