Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi perbincangan itu, pihak kerajaan dan pemaju boleh mengenal pasti punca perkara tersebut berlaku dan mencari cara mengatasinya.

"Saya harap supaya dasar tidak selalu berubah dan kita akan beri pertimbangan dan lihat (perkara ini).

"Kerajaan negeri akan cari cara terbaik untuk mengatasi dan kita tidak ada masalah untuk duduk berbincang dengan pihak pemaju," katanya diminta mengulas saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya kerajaan dan pemaju berbincang dan mengambil pendekatan menang-menang bagi menangani isu perumahan, khususnya dalam membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas ditemui selepas melancarkan Kem Kesihatan Pasir Gudang 2017 dan Persatuan Doktor-Doktor Negeri Johor di pusat beli-belah Aeon Permas Jaya, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad; Pengerusi Persatuan Doktor-Doktor Negeri Johor, Dr. Ng Kim Fong dan Pengerusi program, Ibrahim Ismail. - UTUSAN ONLINE