Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah diberi tanggungjawab bagi memperincikan cadangan pelebaran rangkaian laluan kereta itu yang juga melibatkan usaha mengenal pasti peralatan komunikasi moden dan sesuai untuk digunakan dalam meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang landasan sedia ada iaitu Stesen Tanjung Aru ke Tenom.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan RM1 juta tahun ini bagi melaksanakan kajian tersebut.

“Dalam usaha mensejahterakan rakyat di negeri ini, kerajaan negeri komited untuk memastikan perkhidmatan kereta api terus ditambah baik sekali gus mengambil kira cadangan melebarkan rangkaian ke Sandakan dan Kudat.

“Bagaimanapun, kita belum mempunyai tempoh sesuai untuk kerja-kerja pembinaan landasan baharu itu dan menunggu kajian terperinci siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tren Pelbagai Guna Diesel (DMU) di stesen kereta api Tanjung Aru di sini hari ini.

Sebanyak tiga unit DMU yang ditempah khas dari India dengan kos RM7.62 juta serta mempunyai had kelajuan 90 kilometer sejam dan mampu menampung 192 penumpang akan digunakan bagi sektor Tanjung Aru - Beaufort - Tenom sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, kajian yang dilakukan itu juga akan mengambil kira jenis kereta api yang sesuai digunakan bagi laluan ke Sandakan dan utara Sabah.

Selain itu, berdasarkan rekod JKNS, beliau berkata, sebanyak 494,638 penumpang bersamaan 6,170 trip perjalanan menggunakan pengangkutan rel pada tahun lalu.

“Malah, JKNS juga merekodkan penurunan dari segi pembatalan perkhidmatan disebabkan masalah teknikal dan cuaca iaitu sebanyak 134 kes pembatalan pada tahun lalu berbanding 762 kes pada tahun 2015.

“Penurunan jumlah ini adalah atas usaha JKNS mengemaskini prosedur penyelenggaraan dan operasi. Usaha ini akan terus dipertingkatkan agar perkhidmatan kereta api yang lebih konsisten dan berdaya harap dapat dicapai,” katanya.

Dari segi keselamatan, Pairin menambah, pelbagai usaha diambil dari semasa ke semasa untuk mengatasi kemalangan termasuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan rapi ke atas landasan bagi mengelak kegelinciran, mendirikan papan tanda amaran selain menyediakan jalan susur. - UTUSAN ONLINE