Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, sebanyak 1,333 ketua isu rumah yang merupakan mangsa banjir telah menerima wang tunai berjumlah RM500 seorang.

Menurutnya, bantuan tersebut membuktikan kecaknaan kerajaan persekutuan yang tidak putus-putus membela rakyat walaupun parlimen Tumpat bukan milik Barisan Nasional (BN).

“Bantuan ini jelas menunjukkan kerajaan persekutuan tidak pernah menganak tirikan atau mendera rakyat Kelantan seperti yang dicanang oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Ehsan Bantuan Bencana Fasal 1 Peringkat Parlimen Tumpat di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2 di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, sebanyak 3,000 keluarga yang telah terlibat dengan musibah berkenaan pada Januari lalu. - UTUSAN ONLINE