Pengarah Jabatan Pelancongan negeri,Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, ini kerana Tasik Kenyir menjadi tempat persinggahan dan habitat hampir 300 spe­sies burung, termasuk sembilan daripada 10 spesies burung enggang yang selama ini hanya diketahui terdapat di Sarawak.

“Aktiviti melihat burung ini merupakan nilai tambah kepada penjenamaan melalui strategi dan integrasi promosi dan galakan yang telah dan akan diadakan secara bersepadu dan berterusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program ‘Kenyir Bird & Nature Quest’ 2017 di Petang Island Resort, Tasik Kenyir, semalam.

Kenyir Bird & Nature Quest 2017 kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 70 orang termasuk dari Itali, Jeoun Kanada, Yaman, Palestin, Perancis dan Libya.

Melihat hidupan burung adalah satu bentuk rekreasi yang mempunyai kelompok penggemar tegar datang dari serata pelosok dunia dengan memerhati, mendengar siulan dan merakamkan keindahan serta keunikan setiap unggas yang berjaya dijejak.