Jika dilihat dengan mata kasar, Pulau Besar merupakan satu kawasan yang cantik kerana terletak di satu tempat yang jauh daripada bandar, apatah lagi mendengar kesibukan jalan raya.

Bagaimanapun, seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan kawasan itu kerana apabila mendengar cerita dan membaca mitos yang diluahkan oleh orang lain, segala pembangunan di tempat itu tidak boleh bertahan dengan lama.

Apakah punca sebenarnya? Hanya pihak berkuasa sahaja yang tahu dan kita juga sedar akan operasi-operasi yang dilakukan beberapa agensi pe­nguat kuasa di kawasan itu sebelum ini.

Difahamkan, segala tempat yang didakwa sebagai kubur yang mampu merealisasikan hajat seseorang telah dirobohkan oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama agensi lain seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Itu belum lagi peniaga-peniaga haram yang dihalau MBMB.

Sungguhpun begitu, dalam tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini, bukan sahaja ada kubur yang dibangunkan semula, malah terdapat lokasi baharu pula yang dijadikan sebagai kawasan 'misteri'.

Penulis juga difahamkan, pejabat Ketua Menteri Melaka ada meminta polis negeri untuk turut bersama dengan agensi lain bagi mencegah amalan-amalan khurafat di Pulau Besar.

Usaha pihak berkuasa jelas sekali dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini ke­rana menjadikan Pulau Besar sebagai tempat melakukan ‘dosa’.

Bagi masyarakat negeri Melaka, bersamalah dengan pihak berkuasa dalam mena­ngani isu tersebut kerana banyak faedah yang oleh diperoleh sekiranya Pulau Besar berjaya dibangunkan sebagai tempat pelancongan.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti khurafat dijalankan di Pulau Besar, segeralah membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Sayangilah negeri Melaka yang penuh dengan sejarah ini, tetapi jangan pula mengambil kesempatan sehingga imej negeri tercalar di mata orang luar hanya kerana satu kawasan yang terjejas.

Pepatah ‘rumah ku, syurga ku’ memberi pedoman untuk menyayangi tempat kita berteduh dan begitu jugalah dengan usaha menyayangi negeri ini. Biau Benau susah nak ba­ngunkan Pulau Besar?