Taman Negara Kuala Tahan dekat sini merupakan salah satu destinasi bersesuai untuk kegiatan berkenaan kerana difahamkan kira-kira 350 spesies burung liar menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat.

Maka tidak hairanlah lebih 800 peminat burung liar dan pencinta alam sekitar menyertai Program Memerhati Burung Taman Negara 2017 yang berlangsung tiga hari sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 di situ baru-baru ini.

Pengerusi program tersebut, Roslan Abu Kassim, 53, berkata, para pengunjung terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penuntut institusi pengajian tinggi, pelancong ­asing dan domestik, belia tempatan serta ahli Persatuan Pelancongan Taman Negara yang menjelajah sekitar hutan berusia lebih 130 juta tahun itu untuk memerhati burung.

Katanya, ceramah teknik memerhati burung, asas fotografi dan sesi kegiatan luar yang dikendalikan oleh pakar dari universiti tempatan serta NGO turut menjadi sebagai antara pengisian aktiviti sepanjang program itu berlangsung.

“Selain itu, program dime­riahkan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, memasak menu ikan patin, gubahan berasaskan bahan terbuang, persembahan kebudayaan dan gendang tetawak.

“Program ini yang memasuki edisi keempat sejak dilancarkan pada 2014 antara pengisian agenda TMP 2017 khususnya menarik pengunjung ke Taman Negara Kuala Tahan,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Roslan, penganjuran tahun ini lebih memfokuskan kepada penglibatan semua pe­ngusaha pelancongan tempatan dan pemilik chalet yang terbukti berjaya dilakukan di beberapa buah negara lain di Asia dan Eropah.

Katanya, penganjuran program itu diperbaharui dengan pelbagai kegiatan berasaskan pengalaman jawatan kuasa berke­naan terdiri daripada pe­ngusaha pelancongan Taman Negara yang menyertai Festival Burung Antarabangsa di Rutland, England tahun lepas.

“Pengalaman mempromosikan kegiatan ekopelancongan berasaskan kegiatan memerhati burung di Kuala Tahan kepada pelancong Eropah memberi pengalaman berguna kepada kita,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Idros Yahya berkata, program menerusi kerjasama Persatuan Pencinta Burung, Persa­tuan Pelancongan Taman Negara, Mutiara Resort Taman Negara, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pengusaha pelancongan tempatan itu berjaya mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

“Program ini mampu mendidik pengunjung mencintai dan menghargai khazanah flora serta fauna di Taman Negara Kuala Tahan ketika mereka berpeluang menambah pengetahuan tentang spesies burung liar di sini,'” katanya.