Nyata kesannya lebih dari­pada itu andai melibatkan banyak pihak, apatah lagi jika membabitkan negara lain.

Baru-baru ini, kecoh di Malaysia dan Singapura apabila ada pemuda dari negara republik itu mendakwa dua rakannya lambat diberi rawatan semasa terlibat dalam kemalangan.

Lebih 'menegangkan' apabila salah seorang mangsa meninggal dunia kerana didakwa ambulans lewat tiba serta lambat diberi rawatan oleh sebuah hospital awam di sini kerana meminta deposit bayaran terlebih dahulu sebelum rawatan diberikan.

Namun apabila disiasat, dakwaan yang disiarkan oleh sebuah portal berita di negara tersebut, ternyata tidak benar.

Justeru, Kementerian Kesihatan menuntut penjelasan daripada kerajaan negara berkenaan dan meminta portal tersebut memohon maaf.

Benar portal tersebut sudah me­mohon maaf dan menarik balik berita tersebut, tetapi ‘kerosakan’ akibat maklumat tidak tepat telah terjadi sehingga mendapat pelbagai respons daripada netizen - ada yang menyokong, ada yang mengutuk.

Namun sebagai pengamal me­dia, tindakan kurang matang war­tawan/editor portal tersebut seharusnya menjadi pengajaran.

Sejak dahulu hingga kini, penulis selalu mengingatkan diri dan wartawan di bawah seliaan supaya berita-berita bersifat dakwaan perlu dinilai dan ditulis secara teliti serta adil dengan mendapatkan komen atau penjelasan daripada kedua-dua belah pihak.

Ini kerana sebagai media, sama ada cetak, elektronik atau digital seperti portal harus sedar bahawa berita-berita yang disiarkan memberi impak besar kepada pembaca dan pihak yang terlibat supaya tiada yang teraniya.

Nyata tindakan portal ber­ke­naan menyiarkan dakwaan se­­belah pihak sahaja amat tidak adil kepada pelbagai pihak yang berkaitan di negara kita.

Lebih menyedihkan, ekoran kri­tikan dan tindakan drastik pi­hak Kementerian Kesihatan menyiasat dan menghantar surat kepada kerajaan negara berkenaan menyebabkan salah seorang rakan mangsa kemudian ‘menukar’ cerita bahawa insiden tersebut mungkin disebabkan salah faham akibat masalah bahasa.

Teropong Kawan amat yakin, masalah bahasa bukan isunya kera­na staf di semua peringkat di Kementerian Kesihatan telah dilatih secara profesional, malah semasa pengajian atau latihan, mereka turut didedahkan dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris walaupun mungkin tidak sepenuhnya.

Ini kerana banyak istilah menggunakan bahasa antarabangsa itu dalam bidang perubatan.

Jadi, usahlah ‘keruhkan’ hubu­ngan dua negara berjiran ini dengan hanya kerana dakwaan tidak tepat pemuda kurang matang berkenaan.