Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kembara rohani di Banda Aceh

Kesan tsunami 2004 masih segar

AHLI KMJ dan JCorp bersama penghuni anak yatim di Rumah Anak Yatim 8
AHLI KMJ dan JCorp bersama penghuni anak yatim di Rumah Anak Yatim Johor di Banda Aceh, Indonesia, baru- baru ini.

ACEH 21 Feb. - “Saya terfikir adakah ini sudah kiamat,” ujar Mohd. Siddiq Mohd. Dahlan, 5, semasa tubuhnya dikisar dalam pusaran ombak raksaksa tsunami pada 8 pagi 24 Disember 2004.

Mohd. Siddiq berpusing-pusing digulung arus yang sangat deras bersama-sama abangnya selama kira-kira lima minit selain turut terminum air tsunami yang berwarna hitam pekat.

“Selepas arus deras berhenti, saya, abang dan adik sepupu berada dalam air yang dipenuhi kayu dan sampah sarap.

“Abang minta saya pertolo­ngan kerana dia tidak dapat membantu kerana pinggagnya tersepit dalam timbunan kayu,” ujarnya.

Mohd. Siddiq dan abang serta sepupunya yang dicengkam ketakutan kemudian berjaya me­nyelamatkan diri ke sebuah ba­­ngunan berdekatan namun ibunya lenyap sehingga kini bersama-sama tujuh adik-beradik yang lain.

Sekelip mata, dia hilang tempat bermanja dan sehingga ke hari ini tiada sebarang khabar berita mengenai mereka, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia.

Kisah sedih dan cukup dramatik itu diceritakan Mohd. Siddiq kepada rombongan disertai 30 ahli Kelab Media Johor (KMJ) dan Johor Corporation (JCorp) semasa melakukan kunjungan di Aceh, Indonesia baru-baru ini untuk misi kemanusiaan.

Mohd. Siddiq yang kini berusia 18 tahun, merupakan penghuni Rumah Anak Yatim Johor di Desa Ajun Jeumpet, Banda Aceh di sini dan menjadi yatim piatu selepas kejadian tsunami.

Rumah anak yatim itu dibina pada 2005 atas inisiatif UMNO Johor khusus untuk anak yatim mangsa tsunami. Sejak ditubuhkan hingga tahun lalu, kerajaan Johor menyalurkan 80 juta rupiah (RM25,000) setiap tahun termasuk kos utiliti dan keperluan makanan serta minuman.

Kunjungan KMJ dan JCorp itu antaranya disertai Timbalan Pe­ngurus JCorp, Mohd. Ainuddin Aliff Salehuden; Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Bisnes JCorp, Wan Mohd. Nizam Wan Omar dan Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak.

Menerusi kunjungan tersebut, KMJ menyumbangkan wang tunai dan dua unit mesin pe­ngepam air untuk rumah anak yatim tersebut bagi memudahkan penghuninya melakukan aktiviti harian selain mendapat bekalan air bersih.

Selain rumah anak yatim tersebut, delegasi KMJ dan JCorp turut menyerahkan sumbangan RM50,000 hasil kutipan Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-KMJ Prihatin Aceh untuk Masjid Ahlissilsilah di Gampong Reudep Kacamatan Pante Raja Kabupaten di Pidie Jaya.

Sumbangan atas inisiatif KMJ dan JCorp itu adalah untuk membaiki masjid tersebut yang berkedudukan kira-kira 160 kilometer dari Banda Aceh kerana rosak teruk akibat gempa bumi kuat mencecah 6.5 magnitud pada 7 Disember 2016.

Bukan sahaja dibawa melawat rumah anak yatim dan masjid berkenaan, delegasi turut dibawa ke Masjid Rahmatullah di Kampung Lampu'uk, Aceh Besar dan sekali lagi kami terpana apabila mendengar cerita seorang imam yang terselamat daripada tsunami.

Bagi Sulaiman Muhamad Amin, 65, imam masjid tersebut, tsunami bukan sahaja mengorbankan jiwa, merosakkan ekosistem laut, meranapkan rumah dan prasarana tetapi turut ‘menguburkan’ keluarganya. Namun peristiwa itu tidak pernah dapat memadamkan memorinya.

Ingatannya terjerlus dalam kolong waktu pada pukul 8 pagi, kira-kira 13 tahun lalu.

“Pada pagi itu, saya sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat sunat duha sebelum rumah kami digegarkan dengan gempa bumi kuat.”

Goncangan itu membuatkan­nya terpaksa merangkak bersama-sama isteri dan anak perem­puannya ke halaman rumah. Mereka bingung dengan apa yang berlaku dan tidak tahu arah tuju.

“Tiba-tiba terdengar bunyi bom (letusan tsunami) yang sa­ngat kuat. Semua penduduk kampung mendengarnya. Lima minit kemudian terdengar lagi bunyi bom kedua. Kami bertambah panik, isteri dan anak saya berpelukan dengan saya.

“Saya ingatkan kepada anak saya, jangan lupa (kalimah) Lailahaillah. Tiba-tiba datang orang kampung belari sambil berteriak air laut naik, air laut naik,” cerita­nya.

Sulaiman kemudian terdengar bunyi desiran angin yang sangat kuat sebelum melihat air berwarna hitam dan kuning setinggi pokok kelapa datang sekali gus menyambar mereka dan mengheret apa sahaja yang ada ketika itu.

“Saya terpisah dengan isteri dan anak saya. Saya tidak pandai berenang dan pada masa itu sudah terfikir dalam hati, matilah saya hari ini. Beginilah cara mati saya hari ini,” katanya berkongsi pengalaman pahit tersebut.

Namun tidak disangka-sangka pertolongan Allah datang apabila tiba-tiba tubuhnya seakan ‘ditolak’ hingga ke permukaan air hanyut bersama-sama sampah-saram dan rumah yang musnah.

“Tulang rusuk saya patah dilanggar daun pintu sebelum berpaut pada papan dan diha­nyutkan sejauh kira-kira tiga kilometer. Waktu itu saya lihat kampung saya sudah menjadi lautan.

“Dari Zohor hingga Asar saya terperangkap sebelum datang lagi pertolongan Allah apabila depan mata saya yang dipenuhi longgokan kayu dan mayat dibukakan satu ‘laluan’. Saya kemudian menggunakan batang sagu me­ngapungkan diri hingga berjaya menyelamatkan diri ke sebuah kampung di tepi bukit,” katanya.

Amukan tsunami menghilangkan isteri dan tiga anaknya hingga kini. Hanya 600 daripada 7,000 penduduk kampung itu terselamat selain rumah, ternakan dan harta benda musnah. Ajaibnya hanya Masjid Rahmatullah kekal berdiri teguh. Subhanallah!

Secara konklusinya, kedata­ngan petugas media dan kakita­ngan konglomerat itu merupakan kembara spiritual yang mencerah­kan mata hati. Begitu juga meninggalkan selaut rasa dan mengakibatkan ‘tsunami’ dalam jiwa, mengingatkan betapa besar nikmatNya selama ini.

Lawatan singkat KMJ dan JCorp itu mendasarkan keinsafan dalam kalbu. Memang benar kata pemandu pelancong trip ber­kenaan, Muhamad Effendi Acek; “Mereka yang pulang selepas melawat Aceh akan terisi jiwa dan semangatnya daripada zero menjadi hero.”

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain