Pegawai Memerintah, Lefte­nan Kolonel Mohd. Tahir Symon berkata, sebanyak RM45.8 juta diperuntukkan bagi menggerakkan kerja pembinaan dan baik pulih itu di bawah program Army Care yang bermula Oktober 2013.

“Ini melibatkan pembinaan beberapa bangunan baharu termasuklah Markas Batalion, Pejabat Kompeni (pentadbiran), Wisma Bintara dan Wisma Perwira (kediaman pegawai), blok penginapan anggota bujang dan pondok pe­ngawal.

“Pihak kami sentiasa berusaha untuk menambah baik kebajikan seluruh warga dengan memberi penekanan terhadap peningkatan tahap keselesaan bekerja dan kualiti hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata berkata demikian kepada pemberita dalam upacara Perbarisan Ulung Pegawai Memerintah dan Upacara Pemakaian Pangkat di Batalion ke-18 RAMD, Kem Seri Pantai di sini hari ini.

Terdahulu, beliau memeriksa pembarisan yang terdiri daripada 21 pegawai dan 220 anggota lain-lain pangkat diketuai Pegawai Gerak Mejar Khairul Azman Kormin sebelum menyampaikan pemakaian pangkat kepada 68 pegawai dan anggota.

Katanya, kerja naik taraf ini bukan hanya memperlihatkan bangunan di kem bertukar wajah tetapi dengan kemudahan tempat tinggal dan kem lebih selesa, ia mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan prestasi serta produktiviti kerja 500 pegawai dan anggota.

Mengenai operasi banjir di negeri ini baru-baru ini, Mohd Tahir, berkata seramai 26 pegawai dan 357 anggota lain-lain pangkat terlibat dengan operasi membantu dan menyelamat mangsa.

Katanya, walaupun pada masa ini keadaan banjir telah pulih dan mangsa telah pulang ke rumah masing-masing tetapi masih ada anggota yang ditempatkan di beberapa daerah seperti Dungun dan Kemaman yang terjejas teruk bagi memantau.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan semua pegawai dan anggota supaya mematuhi peraturan dan disiplin kerana pihaknya tidak akan teragak-agak akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar.

Menurut beliau, tindakan sehingga diberhentikan boleh dikenakan jika didapati bersalah di Mahkamah Tentera terutama kes yang melibatkan jenayah awam dan penyalahagunaan dadah.