Pengerusi pusat tahfiz itu, Nik Mahadi Nik Hassan, berkata kehadiran Tan Sri Nazmi Salleh ke pusat tahfiz itu melegakan penghuninya yang kebanyakannya adalah asnaf dari seluruh negara.

Menurutnya, zakat tersebut diserahkan sendiri oleh ahli perniagaan itu secara bersemuka dengan setiap anak-anak tahfiz sambil bertanya khabar mengenai kedudukan dan latar belakang keluarga.

“Pusat tahfiz yang sudah beroperasi selama empat tahun amat mengalu alukan sumbangan dari orang ramai kerana dana pusat itu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dermawan.

“Pusat tahfiz ini mempunyai 32 pelajar lelaki berumur di antara tujuh hingga 13 tahun. Pusat pengajian menghafaz al-Quran ini menerima banyak permohonan dari ibu bapa yang ingin menghantar anak kerana pusat ini memberikan perkhidmatan percuma dengan pengajian tanpa yuran,”katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nik Mahadi berkata, kehadiran tokoh korporat seperti Nazmi memberi suntikan semangat kepada pelajar tahfiz yang sebelum ini jarang dikunjungi pihak luar.

“Saya berterima kasih di atas sokongan Tan Sri (Nazmi) yang menghulurkan RM100 kepada anak-anak tahfiz dan RM2,000 kepada pengurusan tahfiz dan kami amat memerlukan sumbangan seumpama itu demi kelangsungan usaha melahirkan hufaz,” katanya.


Sebahagian pelajar tahfiz menghafaz al-Quran di Pusat Tarbiyah Darul Azim, Ulu Sat, Machang, Kelantan, hari ini.

Nik Mahadi berkata, sehingga kini pusat itu turut menerima bantuan kewangan RM4000 dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan jariah kepada pusat tahfiz ini menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03045010042890 atau menghubungi terus talian 0199258558 (Nik Mahadi). - UTUSAN ONLINE