Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, permohonan itu dilakukan sendiri oleh keluarga Nikmatillah (Nik Abdul Aziz) sejak tahun lalu ekoran beberapa masalah yang dihadapi pengurusan sekolah tersebut.

“Mereka (pengurusan sekolah) dapati sambutan daripada masyarakat mula merosot kerana yuran yang dikenakan tinggi iaitu kira-kira dalam RM500. Jadi, orang kampung sudah semestinya tidak mampu dan kurikulum sekolah itu juga tidak mengikut kurikulum kebangsaan. Sudah pasti ibu bapa juga tidak yakin dengan masa depan anak mereka.

“Justeru, kerana melihat masa depan sekolah itu, keluarga Nikmatillah mencadangkan YIK mengambil alih pengurusan sekolah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai berita yang tular di media sosial kelmarin berikutan tersebarnya surat yang ditandatangani Pengarah Yik, Tengku Ab. Rahman Tuan Yunus dan perkara itu disambut baik pelayar Facebook.

Berdasarkan surat tersebut, Yik memaklumkan menerima permohonan daripada keluarga berkenaan selaku pemegang amanah yang menguruskan tanah dan bangunan di Mada untuk menyerahkan pengurusan sekolah kepada pihaknya.

Ditanya sama ada anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz iaitu Nik Omar akan dikekalkan di sekolah tersebut, jawab Mohd. Amar, perkara itu akan diputuskan kemudian.

“Kita lihat dulu macam mana kerana beliau (Nik Omar) pun dilantik melalui keluarga besar tersebut (pengurusan sekolah). Sekolah itu juga bukan sekolah Nik Omar tetapi kepunyaan keluarga besarnya.

“Jadi, kami sendiri ada surat rasmi daripada keluarga besar itu sendiri dan permohonan sudah sampai secara bertulis di pejabat Menteri Besar,” ulasnya. –UTUSAN ONLINE