Pengerusi YFA, Azmi Mohd. Noor berkata, P1K1R akan merea­lisasikan matlamat mewujudkan rumah dalam kebun di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal di sini, dalam tempoh yang terdekat.

Menurutnya, pengurusan YFA dengan kerjasama pemimpin akar umbi akan menyenaraikan nama-nama penduduk yang berminat menjayakan P1K1R dan ke­uta­ma­an diberikan kepada rakyat yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan.

“Ini adalah sumbangan kekal yang perlu diusahakan. Kita me­nggunakan konsep ‘memberi jala untuk menangkap ikan’ iaitu pe­nerima perlu menggunakan kudrat masing-masing untuk menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Changgai di sini, baru-baru ini.

Azmi berkata, peringkat permulaan P1K1R dimulakan de­ngan 10 keluarga di kampung ber­kenaan menerima antara lima hingga 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumah masing-masing selain mengusahakan tanaman jangka pendek bagi memberikan pendapatan tambahan.

“Kita bersedia mewujudkan tenaga kerja yang menjalankan perkhidmatan mengangkut hasil sawit dari rumah ke rumah untuk memasarkannya nanti,” ujarnya.

Setakat ini katanya, program perintis diusahakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal yang menanam pokok kelapa sawit di persekitaran sekolah telah membuahkan hasil yang lumayan.

“Dalam program ini, penduduk tidak perlu memikirkan soal benih dan pasaran kerana kesemuanya akan diuruskan YFA.

“Mereka akan menerima pendapatan dari hasil titik peluh meng­usahakan tanaman sawit di tepi laman rumah masing-ma­sing,” katanya.