Timbalan Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, untuk tujuan itu, pihaknya bekerjasama dengan Hotel Grand Riverview (GRV) dan Kelate Creative TV ( KCTV) bagi mengagihkan makanan kepada 150 keluarga sekitar bandar ini bermula Sabtu ini.

"Program kemasyarakatan ini sebenarnya satu inisiatif mulia yang telah dilaksanakan pihak GRV dan KCTV pada tahun lalu.

"Kali ini Kemudi buat julung kali turut terlibat di mana kita akan menggunakan tenaga dan pengaruh warga media turun padang mencari keluarga miskin berkongsi rezeki dengan mereka.

"Setiap malam bermula 19 Mei ini kita akan mengunjungi beberapa keluarga yang dikenalpasti untuk menyampaikan pek nasi dan lauk hidangan lazat hotel sekali gus melihat sendiri keadaan hidup mereka untuk menentukan bentuk bantuan lain pula," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jualan dan Pemasaran GRV, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud dan Pengarah Operasi KCTV, Norazwatul Akmal Kasmuri.

Sementara itu, Raja Rusmin pula berkata, pada tahun lalu pihaknya berpeluang membantu 80 keluarga miskin dan berharap melalui kerjasama dengan Kemudi lebih banyak golongan sasar dapat disantuni.

Tambahnya, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan dan sokongan daripada pelbagai pihak dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubunginya di talian 0199889894. -UTUSAN ONLINE