Penduduk tempatan di daerah ini berharap persekitaran monumen itu segera diwartakan oleh pihak kerajaan kerana bimbang kawasan tersebut musnah kerana terletak dalam ladang milik swasta.

Seorang pesara tentera, Abu Bakar Jusoh, 62, berkata, kawasan itu harus diberi perhatian sebagai kawasan pelancongan bersejarah untuk tatapan generasi muda, malah seluruh rakyat negara ini.

Katanya, di kawasan itu terdapat monumen yang dibina pada tahun 2005 tetapi dilihat semakin dilupakan dan terbiar.

Menurut beliau, sempena ulang tahun kemer­dekaan, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia cawangan Gua Musang bersama anggota Unit Batalion Kedua Rejimen Sempadan, Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu telah bersama-sama membersihkan kawasan berkenaan.

“Kita lihat kawasan ini semakin terbiar dan kita minta kerjasama pihak berkuasa tempatan agar mengambil berat tentang kawasan bersejarah ini.

“Peristiwa berdarah berlaku di kawasan Sungai Semur ini pada 27 Mac 1950 apabila 17 anggota Bata­lion Ketiga Askar Me­layu Diraja terkorban dan lapan lagi cedera parah manakala, 29 orang pengganas komunis terbunuh dalam pertempuran itu,” katanya selepas gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan bersama anggota tentera di sini baru-baru ini.

Aktiviti membersihkan kawasan itu diketuai oleh Leftenan Muda Ahmad Izzuwan Ismail dari Unit Batalion Kedua Rejimen Sempadan.

Seorang lagi pesara tentera, Sulaiman Mat Diah, 72, pula berharap agar kerajaan negeri me­wartakan tanah seluas dua hektar di kawasan itu bagi mengenang peristiwa sejarah yang pernah berlaku di kawasan tersebut.

Katanya, jika langkah itu tidak diambil segera generasi akan datang akan lupa begitu sahaja tentang pengorbanan wira sebelumnya bagi mencapai kemerdekaan negara.

“Kita boleh promosikan Sungai Semur ini sebagai tempat pelancongan sejarah serta tempat kajian untuk pelajar universiti awam.

“Difahamkan masih terdapat lagi kesan peluru pada pokok di kawasan sekitar hutan ini,” katanya.