Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa, Maria Erianty Zakaria, 40, mengalami pendarahan dalaman setelah kepalanya terhantuk pada batu di atas jalan selain patah tulang selangka.

Suami mangsa, Mohd. Zairie Mohamad Zain, 48, berkata, Maria Erianty baru selesai menjalani pembedahan selama kira-kira lima jam hari ini bagi mengeluarkan darah beku di kepala dan setakat ini, keadaan isterinya stabil namun masih koma.

Menceritakan kejadian itu, Mohd. Zairie berkata, ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah bersendirian selepas menghadiri kelas senaman, dia diekori dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sejauh kira-kira dua kilometer.

Apabila dia tiba di lokasi kejadian, suspek bertindak meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

“Isteri saya dikatakan menjerit meminta tolong orang ramai dan dalam masa sama, dia cuba mengejar peragut berkenaan.

“Penjenayah itu menghimpit motosikal isteri saya beberapa kali menyebabkan dia terbabas sebelum tercampak di atas jalan. Penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu terus mengejar dua peragut terbabit dan berjaya menahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab. Ghani berkata, dua suspek berkenaan, masing-masing berusia 26 dan 14 tahun merupakan adik beradik dan mereka berjaya diberkas penduduk kampung sejurus selepas kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan mencuri pada 2013 manakala ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE