Wan Norazman Wan Husin, 32, yang bertugas sebagai imam dan tenaga pengajar di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, berkata, individu yang senasib seperti dirinya wajib menyasarkan untuk melakukan perkara yang le­bih hebat daripada orang lain.

Walaupun sibuk dengan tugas mengajar al-Quran serta mengendalikan program agama di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) namun tidak menghalang beliau untuk membantu menguruskan sekolah lamanya, Madrasah Tahfiz Darul Riyadh di Gual Tinggi, Rantau Panjang.

Malah lelaki yang mempunyai dua isteri normal itu turut membuka sekolah tahfiz persendirian iaitu Madrasah Tahfiz Darul Aqil di Bukit Bunga, Jeli khusus untuk pelajar miskin dan anak yatim hujung tahun lalu.

“Kita kena sentiasa buat sasaran luar biasa, kalau ada apa yang orang biasa boleh buat, maka kita perlu buat lebih daripada itu. Saya tidak berpeluang belajar hingga ke luar negara tetapi kita perlu memanfaatkan segala peluang dan ruang yang ada.

“Belajar daripada guru-guru hebat yang ada di sekeliling kita dan sebarkan ilmu yang berfaedah untuk seluruh masyarakat,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini semalam.

Wan Norazman menjadi kakitangan Maik sejak 11 tahun lalu dan sebelum itu pernah bertugas sebagai guru agama di Istana Negeri.

Menyentuh mengenai perkahwinannya, beliau memberitahu perkahwinan dengan isteri pertamanya, Nor Atiqah Mat Yusuf, 27, pada tahun 2009 dan isteri kedua, Noraisa Nordin, 27, pada 2014.

Hasil dua perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang anak tetapi dua daripadanya meninggal dunia ketika masih bayi.

“Isteri-isteri saya berkelulusan sekolah pondok dan universiti tetapi kedua-duanya saya syaratkan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana tugas penting mereka mendidik anak-anak.

“Syukur kami tiada masalah kerana semua faham matlamat kita hidup adalah untuk mendapat balasan syurga,” katanya.